NOTTINGHAM FOREST 2 ASTON VILLA 0

Nottingham Forest menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan apabila mengatasi Aston Villa 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di City Ground lewat malam tadi.

Forest tidak pernah menang sejak menewaskan Chelsea pada 2 September lalu dan tekanan yang dialami pengurusnya, Steve Cooper, kian meningkat memandangkan kedudukan mereka kian terperosok di kelompok bawahan.

Bagaimanapun, jaringan Ola Aina dan Orel Mangala mengembalikan prestasi terbaik mereka untuk kini semakin menjauhi zon penyingkiran.

Mereka juga menunjukkan betapa bagusnya permainan mereka dalam tempoh 50 minit pertama, di mana Cooper memenangi perang taktikal dengan rakan sejawatannya, Unai Emery.

Garisan bertahan tinggi Villa kerap dimanfaatkan Forest, sekali gus memaksa pelawat menelan kekalahan pertama sejak enam perlawanan lalu.

Anthony Elanga berhasil melepaskan diri untuk bergandingan dengan Harry Toffolo, yang kemudian melakukan lorongan ke arah Aina untuk pemain itu melepaskan penyudah dari jarak 25 ela seawal minit kelima.

Forest kemudian hanya memerlukan 67 minit selepas babak kedua bermula untuk menggandakan jaringan, di mana Mangala melepaskan satu sepakan lencong dari jarak 20 ela dan biarpun penjaga gol Villa, Emiliano Martinez, dapat menolak bola itu, dia gagal mengeluarkannya daripada garisan gol.