Leicester City mengesahkan bahawa mereka selesai menandatangani pertahanan kiri Denmark, Victor Kristiansen, daripada Copenhagen.

Kristiansen, yang merupakan pemain skuad B-21 Denmark, menandatangani kontrak selama lima setengah tahun, di mana Leicester dilaporkan membayar £17 juta (RM90.26 juta) kepada Copanhagen.

The Foxes semenangnya perlu memperkuatkan bahagian pertahanan mereka, terutama di bahagian sayap, selepas James Justin dan Ricardo Pereira terpaksa berehat panjang kerana kecederaan manakala Ryan Bertrand pula sudah tidak beraksi lebih setahun.

Kristiansen, 20, berkata kepada laman web rasmi kelab itu: "Ia perasaan yang luar biasa. Ia benar-benar mengujakan untuk berada di sini dan saya amat teruja untuk bertemu semua pemain di kelab ini, termasuk semua penyokong.

"Liga Perdana Inggeris (EPL) mungkin liga terbaik di dunia dan Leicester merupakan pasukan utama, jadi sudah pasti saya teruja.

"Saya tidak perlu berfikir panjang untuk katakan ya kepada peluang hebat ini," katanya.