Pep Guardiola mengakui kejayaan memenangi kejuaraan 'treble' musim lalu telah memberikan kesan kepada barisan pemain Manchester City.

City tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) dan tewas dua kali berturut-turut dalam saingan liga sebelum waktu rehat antarabangsa lalu.

Mereka kemudian kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Brighton 2-1 malam kelmarin tetapi Guardiola mengakui terdapat penurunan yang tidak dapat dielakkan daripada segi intensiti selepas meraih penamat luar biasa musim lalu.

Pengurus City itu berkata: "Kejuaraan 'treble' itu memberikan kesan kepada kami semua, termasuk saya.

"Jadi, kami kini perlu mengekalkannya atau menghampirinya, dari bulan ke bulan sehingga tiba saat keputusannya pada penghujung musim ini dan mencuba untuk melakukannya sekali lagi.

"Saya sudah katakan banyak kali, tiada siapa pernah menang empat (EPL) berturut-turut. Tiada siapa.

"Ia menunjukkan betapa sukar untuk melakukannya tetapi kini, ia adalah penting untuk melakukannya, terutama dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL), layak ke pusingan seterusnya dalam waktu seperti ini dan selepas itu, kami boleh menumpukan sepenuhnya kepada EPL. Sasarannya seperti itu," katanya.