Pertahanan tengah Chelsea, Thiago Silva, mengalami kecederaan di ligamen lututnya, demikian disahkan kelab berkenaan.

Silva dikeluarkan pada minit ke-19 sewaktu Chelsea tewas 0-2 kepada Tottenham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

The Blues tidak meletakkan sebarang jangkaan bagi tempoh pemulihan pemain itu tetapi terdapat laporan mendedahkan bahawa pemain Brazil berusia 38 tahun berkenaanmungkin perlu berehat selama enam minggu.

"Selepas mengalami kecederaan lutut dalam separuh masa pertama perlawanan menentang Tottenham Hotspur pada Ahad lalu, Thiago menjalani penilaian lanjut dan ujian imbasan sekembalinya ke pusat latihan pada Isnin lalu," kata satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

"Keputusan ujian imbasan dan penilaian berkenaan mengesahkan terdapat kecederaan pada ligamen lutut Thiago dan dia kini akan bekerjasama rapat dengan jabatan perubatan kelab ini sepanjang proses pemulihannya agar dapat kembali beraksi secepat mungkin."

Ia merupakan tamparan terbaru buat pasukan bimbingan Graham Potter itu, yang kini menduduki tangga ke-10 EPL dan tewas kesemua tiga perlawanan terakhir, tidak pernah menang dalam enam aksi berturut-turut dan hanya meraih dua kemenangan sepanjang 15 pertemuan lalu.

Silva -- yang melakukan 109 penampilan buat Chelsea sejak menyertai pasukan itu pada 2020 -- menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab itu pada awal bulan ini untuk kekal berada di Stamford Bridge sehingga penghujung musim 2023-24.