Luton Town menandatangani bekas pemain tengah Chelsea dan Everton, Ross Barkley, secara perpindahan percuma.

Bekas pemain kebangsaan England berusia 29 tahun itu menghabiskan musim lalu bersama kelab Ligue 1, Nice, selepas meninggalkan Chelsea secara persetujuan bersama.

Barkley, yang mewakili England dalam Piala Dunia 2014 di Brazil dan pernah menyertai Aston Villa secara pinjaman semusim, berpeluang untuk melakukan penampilan pertamanya bersama The Hatters apabila menghadapi Brighton dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Falmer, Sabtu ini.

"Mengapa Luton? Datang dari Liga Persidangan ke EPL merupakan satu kisah yang hebat dan saya secara peribadi berasakan untuk kembali ke EPL memberikan satu motivasi yang hebat," kata Barkley dalam laman web rasmi Luton.

"Saya masih boleh dikatakan muda dan sepanjang beberapa tahun lalu, saya tidak banyak bermain seperti yang diharapkan.

"Tetapi saya menyimpan banyak tenaga dan menjaga diri saya, jadi amat bagus untuk berada di sini dan ada banyak yang saya mahu tunjukkan tetapi saya sudah bersedia dan bermotivasi," katanya.

Pengurus Luton, Rob Edwards, yakin Barkley mampu membawa sesuatu yang berbeza ke dalam skuadnya dalam kempen EPL pertama selepas menjuarai final playoff Liga Kejuaraan musim lalu.

"Ross membawa banyak pengalaman di pentas tertinggi, memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa dan memiliki faktor X," kata Edwards.

"Dia memberikan kami sesuatu yang berbeza, dia memiliki kemampuan untuk menghasilkan sesuatu daripada tiada apa-apa dan kami memerlukan perkara itu dalam EPL.

"Dia memiliki segala yang diperlukan untuk melakukan sesuatu yang berbeza buat kami," katanya.