Keadaan terkini pemain Selangor FC, Faisal Halim, tidak begitu baik selepas menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam pagi tadi.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata bekas pemain Terengganu itu sedang berada dalam pemerhatian doktor selepas pembedahan tersebut.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai Faisal dan sedang menantikan perkembangan terbaru keadaan pemain kebangsaan itu.

"Dia telah menjalani pembedahan pertama tetapi saya boleh katakan keadaannya tidak begitu baik.

"Sukar untuk saya ceritakan dan ketika ini dia sedang dalam pemerhatian doktor," katanya.

Sebelum ini, Faisal, menjadi mangsa disimbah asid dalam satu kejadian di sebuah pusat membeli belah di Damansara semalam.

Dia mengalami kecederaan melecur tahap dua di badan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Setakat ini, seorang suspek sudah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
--Sinar Harian