Bekas pemain sayap Chelsea, Eden Hazard, mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak pada usia 32 tahun malam tadi.

Hazard memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2019.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Belgium itu kemudian bergelut dengan siri kecederaan jangka panjang dan hanya dapat melakukan 76 penampilan sepanjang enam musim di Madrid sebelum meninggalkan pasukan itu musim panas lalu.

"Anda perlu mendengar diri anda dan bekata cukup apabila tiba masanya," tulis Hazard dalam satu kiriman Instagram.

"Selepas 16 tahun dan beraksi dalam lebih 700 perlawanan, saya memutuskan untuk menamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Saya sudah mengecap impian saya, saya telah bermain dan menikmati aksi di pelbagai gelanggang di seluruh dunia.

"Sepanjang karier, saya amat bertuah dapat bertemu dengan pengurus, jurulatih dan rakan sepasukan yang hebat.

"Terima kasih semua atas waktu yang hebat ini. Saya akan merindui anda semua."

Hazard menjaringkan 110 gol daripada 352 penampilan bersama Chelsea selepas menyertai pasukan itu daripada Lille pada 2012.