MILAN 4 LAZIO 0

Rafael Leao menegaskan Milan bercita-cita tinggi untuk menjulang Coppa Italia berikutan kemenangan hebat ke atas Lazio dalam pertembungan suku akhir.


Rossoneri mara ke separuh akhir selepas menundukkan Biancocelesti 4-0 di San Siro, awal pagi tadi.

Leao dan Franck Kessie menemui sentuhan penyudah sementara dua gol lagi disumbangkan Olivier Giroud untuk pasukan bimbingan Stefano Pioli itu membina momentum daripada kemenangan 'Derby della Madonnina' ke atas Inter, hujung minggu lalu.

Milan bakal mengadakan perlawanan timbal balik dengan musuh sekota mereka itu selepas ini, di mana mereka kini telah memenangi 13 daripada 18 pertembungan terakhir di tempat sendiri.

Lantas, Leao -- yang mencipta lorongan untuk jaringan pertama Giroud -- berkata dia dan rakan sepasukannya menaruh harapan tinggi selepas pemain antarabangsa Portugal tersebut menemui rentak jaringan dalam kancah itu.

"Selepas derby yang merupakan satu perlawanan yang sangat penting bagi kami, kami turun pada malam ini dengan penuh bersemangat dan saya fikir kami telah mempamerkan persembahan yang luar biasa. Ia adalah satu keputusan yang tepat," katanya kepada Sport Mediaset.

“Kami kini layak ke separuh akhir, Coppa Italia adalah satu kejohanan yang ingin dimenangi oleh Milan.

"Saya sentiasa bersedia untuk membantu pasukan saya dengan menyumbangkan gol atau mencipta umpanan, tetapi perkara paling penting ialah kemaraan ke separuh akhir."



Pioli turut memuji prestasi Milan yang penuh keyakinan apabila memenangi enam daripada lapan perlawanan terakhir mereka termasuk kejayaan ke atas Genoa dalam masa tambahan pusingan Coppa Italia terdahulu.

"Kami memanfaatkan sepenuhnya kemenangan derby lalu untuk kami lebih bertenaga, percaya dan berkeyakinan," tambah pengurus itu.

“Seluruh kem ini sangat positif, kami fokus dan mengawal sepanjang 90 minit permainan.

"Akan sentiasa ada perlawanan istimewa yang boleh dijadikan dorongan. Coppa Italia merupakan satu kejohanan yang mahu dimenangi kedua-dua kelab, jadi kami akan cuba memberikan yang terbaik ketika menentang seteru yang kami tahu sangat kuat."