MILAN 3 GENOA 1

Stefano Pioli mengakui tidak berpuas hati dengan usahanya menyediakan persediaan rapi buat Milan untuk pertembungan Coppa Italia dengan Genoa, awal pagi tadi.


Rossoneri dikerah ke masa tambahan dalam pertemuan di San Siro itu sebelum akhirnya mara ke suku akhir dengan kemenangan 3-1.

Genoa -- hanya mencatat satu kemenangan Serie A sepanjang musim ini dan tanpa kemenangan Coppa ke atas seteru itu sejak 1936-37 -- lebih menikmati separuh masa pertama untuk mendahului menerusi tandukan Leo Ostigard pada minit ke-17.

Pengurus, Andriy Shevchenko, hampir melakar kejutan terhadap bekas kelabnya itu sebelum Olivier Giroud menanduk masuk gol penyamaan ketika masa sebenar berbaki 16 minit.

Milan mula mendapat rentak sebenar dan sepatutnya mendahului menerusi Rafael Leao selepas hantaran lintangnya menerjah ke penjuru gawang sebelum Alexis Saelemaekers memastikan gol ketiga pasukannya.

Walaupun Pioli gembira dengan tindak balas pemainnya selepas ketinggalan, pengurus itu menyalahkan diri sendiri atas persembahan tidak berkesan anak buahnya dalam separuh masa pertama.

“Saya tidak berpuas hati dengan percaturan sendiri,” katanya kepada Sky Sport Italia.

“Jika seluruh pasukan tidak mendapat pendekatan yang tepat untuk menghadapi perlawanan ini, ini bermakna jurulatih tidak pandai merangsang mereka dari sudut mental.

"Dalam separuh masa pertama, kami bergelut dan kami bermain tanpa rentak. Kami memang patut ketinggalan. Kemudian, kami bertindak balas dengan baik; ia adalah tanda kebangkitan yang penting daripada segi watak dan mental pasukan ini.

"Saya kecewa kerana saya fikir saya telah membuat persediaan dengan baik. Saya tidak berjaya dalam soal ini."

Separuh masa pertama menyaksikan Milan bertambah malang apabila pertahanan, Fikayo Tomori, kelihatan terhincut-hincut dan Pioli kini menunggu pemeriksaan kesihatan lanjut dengan cemas.

"Dia berasakan sesuatu yang tidak kena di bahagian lututnya," katanya lagi.

"Kami sedang menunggu beberapa hari lagi untuk menjalani beberapa diagnosis tetapi kami berharap untuk mendapatkan maklumat penuh Isnin depan. Kami mempunyai pilihan yang agak terhad."

Leao, yang telah terlibat secara langsung dalam empat gol sepanjang tiga perlawanan pertamanya pada 2021, gembira dapat mencetuskan inspirasi kebangkitan walaupun golnya dilihat seperti tidak disengajakan.

Pemain antarabangsa Portugal itu mengakui: "Saya mahu membuat hantaran lintang kerana kami mempunyai seseorang yang begitu baik untuk menanduknya dengan kehadiran Giroud dan Ibra (Zlatan Ibrahimovic).

"Apabila saya tidak dapat membuat rembatan, saya cuba membuat umpanan lintang.

"Saya cuba memberikan yang terbaik; saya melakukannya hari ini. Kami menang dan saya menjaringkan gol."