COLOMBIA 0 VENEZUELA 0

Rekod kemenangan Colombia dalam Copa America 2021 tamat sebaik diikat 0-0 dengan Venezuela, yang mana penjaga golnya, Wuilker Farinez, kerap mengecewakan jentera serangan La Tricolor, hari ini.

Pasukan kendalian Reinaldo Rueda itu mendominasi aksi keseluruhan di Olimpico Pedro Ludovico, Goiania tetapi buntu menemui penyudah gara-gara aksi tangkas penjaga gol lawan.

Rueda kembali menyenaraikan Duvan Zapata dan Luis Muriel dalam kesebelasan utamanya tetapi gandingan itu jelas mengecewakan di mana Colombia merekodkan 12 percubaan sepanjang separuh masa pertama tanpa satu pun daripadanya menemui sasaran.

Kemasukan pemain sayap Porto, Luis Diaz, sedikit menghidupkan peluang mereka dalam memburu jaringan, namun pemain itu dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan untuk Venezuela memperoleh satu mata berharga.


Yerry Minna sepatutnya membuka jaringan apabila menerima hantaran lintang daripada Daniel Munoz pada minit ke-13 tetapi dia gagal menempatkan bola ke dalam gawang lawan.

Colombia terus memberikan tekanan dan percubaan rendah dari luar kotak penalti Edwin Cordona diselamatkan Farinez dengan cemerlang dan Zapata pula dinafikan ketika situasi satu lawan satu.

Zapata melakukan larian yang menembusi benteng pertahanan Venezuela pada 10 minit terakhir sebelum waktu rehat tetapi percubaannya mudah dikeluarkan Farinez.

Aksi cemerlang Farinez berterusan dalam babak kedua di mana dia menolak keluar percubaan akrobatik Mateus Uribe untuk secara keseluruhan merekodkan lapan aksi menyelamat sepanjang perlawanan itu.

Suhu perlawanan semakin hangat apabila pemain kedua-dua pasukan mula kepenatan pada penghujung permainan dan Diaz dilayangkan kad merah kerana pertembungannya dengan Francisco La Mantia, sekali gus menggambarkan kekecewaan Colombia gagal memenangi pertemuan itu.

Seterusnya, Venezuela akan bertemu Ecuador di Zona Norte manakala Colombia pula akan bertemu Peru hujung minggu ini.