Ketua Persekutuan Bola Sepak Colombia, Ramon Jesurun, ditahan selepas perlawanan akhir Copa America Ahad lalu, menurut rekod Polis Miami-Dade susulan berdepan tiga pertuduhan jenayah.

Jesurun dan anaknya, Ramon Jamil Jesurun, kedua-duanya ditahan di Stadium Hard Rock dalam suasana huru-hara yang menyaksikan polis membuat 27 tangkapan dan mengeluarkan 55 orang dari venue itu.

Pegawai bola sepak berusia 71 tahun itu dituduh menyerang pegawai penguatkuasa undang-undang atau pekerja acara atas ketiga-tiga pertuduhan. Jesurun telah ditangkap pada hari Isnin dan diperintahkan membayar bon ASD1,000 (RM4,670) bagi setiap dua pertuduhan pertama.


Situasi yang mengejutkan itu berlaku sebelum sepak mula jam 8 pagi (waktu Malaysia) perlawanan akhir Copa America. Miami, rumah kepada populasi perantau yang besar daripada kedua-dua pasukan yang bersaing, Argentina dan Colombia, menyaksikan permintaan yang besar untuk tiket, dengan harga bermula pada harga ASD1,300 (RM6,058).

Permintaan yang tinggi itu menyebabkan rakaman video peminat melompat ke atas pintu stadium dan memasuki stadium NFL melalui lubang angin, antara salah satu kemasukan haram ke venue tersebut, untuk menonton perlawanan akhir itu. Ramai pemegang tiket mendapati tempat duduk mereka sudah diambil oleh penceroboh, dengan kakitangan acara gagal memberikan bantuan kepada peminat.