Ketua jurulatih Brazil, Dorival Junior, mengakui pasukannya perlu belajar untuk bermain tanpa Vinicius Junior selepas terikat 1-1 dengan Colombia dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan D, Copa America di California semalam.

Vinicius dilayangkan kad kuning buat kali kedua dalam kejohanan itu gara-gara terjahannya ke atas James Rodriguez dan akan terlepas aksi bertemu Uruguay di peringkat suku akhir hujung minggu ini.

Penyerang Real Madrid itu, yang sudah menjaringkan dua gol buat Brazil dalam edisi kali ini, hanya dapat diturunkan jika pasukan itu layak ke separuh akhir dengan menumbangkan lawan bimbingan Marcelo Bielsa berkenaan.

"Malangnya, kami sudahpun kehilangan pemain utama seperti Neymar untuk tempoh panjang.

"Dan kami perlu belajar untuk menerima bahawa kami akan kehilangan seorang lagi pemain penting untuk perlawanan ini.

"Pemain lain akan tampil mengisi kekosongannya dan saya fikir hanya itulah caranya.

"Kami akan berdepan kesukaran untuk menentang Uruguay," katanya.