Kapten Juventus, Giorgio Chiellini, memilih untuk terus menikmati bola sepaknya dan akan menilai mengenai masa depannya kemudian di sebalik spekulasi mengenai pembaharuan kontraknya atau pemergiannya daripada kelab itu.

Pemain veteran Itali itu telah beraksi sebanyak 16 kali buat Juve dalam Serie A musim ini biarpun dibelenggu masalah kecederaan dan jangkitan COVID-19.

Leonardo Bonucci dan Matthijs De Ligt telah mengambil tanggungjawab di bahagian pertahanan tengah Juventus sepanjang ketiadaannya, di mana pasukan bimbingan Massimiliano Allegri itu kini berada di tangga keempat dan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Serie A, AC Milan.

Kontrak Chiellini akan tamat pada penghujung musim depan dan ia menimbulkan desas-desus mengenai masa depan pemain berusia 37 tahun itu, sama ada akan bersara atau meninggalkan Turin.

Laporan di Itali mendapati pemain itu mungkin akan berhijrah menyertai Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) tetapi buat masa ini, Chiellini hanya mahu fokus membantu Juve musim ini.

"Saya gembira dan tenang. Saya perlu memahami dan menilai beberapa perkara," kata Chiellini, yang mula mewakili Juve pada 2004.

"Buat masa ini, saya akan terus menikmati setiap perlawanan saya."