Chelsea terdesak untuk mendapatkan aksi terbaik dan konsisten mereka dalam saingan musim ini, namun tugas tersebut tidak mudah apabila perlu berdepan Liverpool di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Selepas mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan membenam Middlesbrough dengan 6-2 secara agregat, skuad kendalian Mauricio Pochettino itu gagal untuk meraih kemenangan apabila diikat tanpa jaringan menentang Aston Villa dalam aksi Piala FA.

Prestasi tidak menentu itu menyebabkan mereka berdepan kesulitan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga biarpun menunjukkan prestasi lebih stabil sejak kebelakangan ini apabila meraih empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Sepanjang lima aksi terakhir di gelanggang lawan, Chelsea tewas empat kali ketika berdepan Newcastle United, Manchester United, Everton dan Wolverhampton Wanderers sebelum ini.