Atlet skuasy wanita negara, Chan Yi Wen, mengambil risiko besar demi slot ke Kejohanan Skuasy Dunia apabila dia mencipta kemenangan pada aksi kelayakan zon Asia di Pusat Skuasy Nasional Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Yiwen dinasihatkan agar tidak beraksi kerana kecederaan buku lali nya sebaliknya atlet kelahiran Alor Setar, Kedah itu membuktikan dia mampu mengatasi kesulitan daripada kecederaanya itu dengan bergelar juara.

Selain turut menebus kehampaan tahun lalu, Yi Wen muncul juara dalam aksi kelayakan Piala Dunia Asia menerusi kemenangan 11-6, 11-3,11-3 ke atas pemain muda negara Sehveetrraa Kumar.

Yi Wen mengikut jejak langkah rakan senegara yang lain antaranya, S. Sivasangari serta Aifa Azman yang sudah layak ke pentas Kejohanan Dunia di Cairo nanti.

“Saya disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali dan koyak pada ligamen pada Februari lalu. Doktor menasihatkan saya untuk berehat dan saya juga sepatutnya berehat tiga bulan tetapi saya cakap tak boleh kerana saya perlu mengambil bahagian pada kejohanan penting tahun ini.

“Saya cakap kepada doktor, percaya pada saya kerana saya nak buat kejaiban. Jadi, tahun saya hanya menjalani fisioterapi dan ia sedikit sebanyak membantu saya untuk turun bersaing pada kejohanan ini.

“Saya gembira kerana berjaya melakukan terbaik tanpa sebarang kesakitan dan akhirnya membantu saya berjaya meraih slot ke kejohanan dunia buat kali pertama,” katanya.