Brunei memperoleh kemenangan pertama dalam acara bola jaring Sukan SEA Ke-29 selepas menewaskan Filipina 69-32 di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Brunei bermula baik dalam suku pertama dengan meraih pendahuluan 16-5, sebelum melebarkan kedudukan kepada 32-11 pada suku kedua.

Skuad yang diketuai Siti Marhayati Ahmad itu selesa berada di depan 50-21 dalam suku ketiga untuk memberi tekanan kepada Filipina.

Pada suku terakhir, mereka melengkapkan kemenangan 69-32 untuk melakar kejayaan pertama dalam temasya kali ini.

Ia kemenangan sulung buat Brunei selepas dikecewakan dua kali -- kalah 62-37 kepada juara bertahan, Singapura, dalam aksi pertama kelmarin dan kecundang 64-27 di tangan Malaysia semalam.

Untuk rekod, Brunei ialah pemenang pingat gangsa, berkongsi dengan Thailand, dalam temasya di Singapura dua tahun lalu, sementara Filipina berada di tangga tercorot (keenam).