Fernando Torres mengumumkan dia akan meninggalkan Atletico Madrid pada penghujung musim ini.

Dia yang merupakan ikon Atletico ketika ini kekal di Wanda Metropolitano tetapi tidak akan memperbaharui kontraknya yang bakal tamat pada Jun depan.

"Saya mahu mengambil peluang ini untuk memberitahu bahawa musim ini adalah tempoh terakhir saya bersama pasukan," kata Torres.

"Ia bukan satu keputusan mudah dan tentunya sukar buat saya tetapi apabila memikirkan soal realiti dan keadaan sekeliling, mungkin itu yang terbaik.

"Sukar buat saya untuk mengucapkan selamat tinggal buat kali kedua kerana saya merancang untuk bersara di sini. Bagaimanapun, tidak semua perkara akan seperti dirancang.

"Secara fizikal dan mental, saya rasa masih mampu beraksi. Saya berasa bagus dan mahu meneruskannya di tempat lain."

Torres membuat keputusan untuk menjelaskan perkara itu selepas melihat kepada keadaan pasukannya ketika ini.

"Saya rasa ini adalah detik terbaik untuk mengumumkannya. Anda boleh lihat keutamaan yang saya miliki dan segalanya tampak sukar.

"Hari ini bukan waktu untuk meyakinkan sesiapa. Saya hanya cuba menjelaskan kepada penyokong apa yang saya rasa. Tiada apa yang perlu dilakukan dengan kelab.

"Musim ini, saya bermain lebih jarang berbanding musim lalu tetapi saya tidak pernah berputus asa.

"Jika mereka tidak memerlukan saya untuk tahun depan, saya lebih suka jika diberitahu."

Torres menyertai Liverpool pada Julai 2007, namun kembali ke Madrid selepas melalui tempoh yang mengecewakan bersama Chelsea dan AC Milan.