Belgium mungkin akan memulakan aksi Piala Dunia 2018 tanpa kelibat Vincent Kompany tetapi Kevin De Bruyne tetap yakin pasukannya mampu bersaing hebat walaupun pertahanan berpengalaman itu tidak beraksi.

Kompany sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan kaki selepas mengalaminya ketika aksi pemanas badan berdepan Portugal dan walaupun yakin dia mampu kembali untuk aksi di Russia, waktu yang tepat masih belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun, De Bruyne berpendapat pasukan bimbingan Roberto Martinez itu memiliki kekuatan yang dapat menampung ketiadaan Kompany menjelang aksi pertama menentang Panama pada 18 Jun ini.

"Kompany tenang dan saya tidak memberikan sebarang tekanan buatnya," ujar De Bruyne.

"Dia tahu tubuhnya kini bekerja keras.

"Dia mungkin tidak akan dapat beraksi dalam perlawanan pertama di Russia tetapi seluruh pasukan mampu menghadapi saingan peringkat kumpulan tanpa kelibatnya."

Selepas aksi pembukaan di Sochi, Belgium akan meneruskan saingan Kumpulan G bertemu Tunisia pada 23 Jun, sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan bertemu England, lima hari kemudian.