BAYERN MUNICH 2 SCHALKE 1

Hasrat Bayern Munich untuk mempertahankan kejuaraan Bundesliga tampak semakin sukar digugat apabila skuad kendalian Jupp Heynckes itu membenam cabaran Schalke 04 2-1, awal pagi tadi.


Beraksi di Allianz Arena, Bayern hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan.

Sepakan bebas dari luar kotak penalti oleh Thomas Muller gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol pelawat, Ralf Fahrmann, sebelum bola muntah itu disudahkan oleh Robert Lewandowski.

Jaringan pembukaan itu membolehkan peledak dari Poland itu semakin selesa dalam carta penjaring terbanyak dengan 19 gol.

Biarpun ketinggalan, Schalke menampilkan aksi yang setara dengan tuan rumah dan usaha mereka untuk mendapatkan gol penyamaan berhasil pada minit ke-29.

Penyerang dari Argentina, Franco Di Santo, yang berada dalam kotak penalti menggunakan kesempatan hasil hantaran lintang Bree Embolo dari sebelah kanan untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, ia hanya bertahan selama tujuh minit apabila Muller menerima bola lorongan Arjen Robben sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Fahrmann.

Selepas aksi babak kedua bersambung, permainan lebih banyak menyaksikan penguasaan bola di tengah padang akibat daripada sikap kedua-dua pasukan yang mengamalkan corak berhati-hati.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan Bayern terus selesa di puncak liga dengan 56 mata, 18 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, RB Leipzig.