Bayern Munich mengecam penderaan perkauman yang dialami oleh Kingsley Coman selepas kekalahan penentuan penalti Perancis menentang Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia Qatar.

Coman diperkenalkan sebagai pemain gantian pada minit ke-71 dengan Perancis ketinggalan 2-0 Ahad lalu, memberikan impak positif apabila hatrik Kylian Mbappe membantu Les Bleus mengheret perlawanan ke penentuan penalti selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Bagaimanapun, pemain sayap itu adalah pemain pertama yang gagal melakukan penentuan sepakan penalti apabila Emiliano Martinez menafikan percubaan pemain itu, sebelum pemain tengah, Aurelien Tchouameni, pula gagal menyempurnakan percubaan Perancis seterusnya.

Coman menjadi subjek kritikan berbaur perkauman di media sosial berikutan kekalahan 4-2 Perancis menerusi sepakan penalti, menyebabkan kelabnya mengecam mereka yang terlibat.

Kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Twitter juara Bundesliga itu berbunyi, "FC Bayern mengecam sekeras-kerasnya komen perkauman terhadap Kingsley Coman.

"Keluarga FC Bayern berada di belakang anda, Coman. Perkauman tidak mempunyai tempat dalam sukan atau masyarakat kita."

Menjelang Piala Dunia, Persekutuan Bola Sepak Perancis mengecam mesej perkauman yang ditujukan kepada pemain tengah Eduardo Camavinga berikutan cadangan dia bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami Christopher Nkunku semasa latihan.