Ross Barkley tidak hadir dalam skuad Everton untuk lawatan pra-musim ke tanah air pengurus Belanda, Ronald Koeman, serta Belgium.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkata Barkley -- yang juga tidak pergi ke Tanzania untuk menentang skuad Kenya, Gor Mahia -- masih meneruskan pemulihan terhadap kecederaan pangkal paha tetapi spekulasi perpindahan yang melibatkan pemain itu mungkin semakin meningkat.

Barkley mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama Everton dan Koeman sering mengatakan pemain tengah itu akan dijual kecuali dia sanggup melanjutkan perjanjian.

Pemain antarabangsa England itu, yang menjaringkan lima gol dalam 36 penampilan EPL musim lalu, telah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham, tetapi Everton dilaporkan menuntut £50 juta (RM280 juta) untuk pemain berusia 23 tahun itu.

Pemain baru, Wayne Rooney, Jordan Pickford, Michael Keane, Sandro Ramirez, Davy Klaassen dan Cuco Martina, semuanya berada dalam skuad untuk jelajah itu.

Everton akan menghadapi FC Twente pada awal pagi Khamis ini sebelum berlepas ke Belgium, di mana mereka akan menentang Genk pada Ahad ini.