Diego Simeone percaya adalah sukar bagi mana-mana pasukan untuk tidak terjejas dek kehilangan Lionel Messi, menjelang pertembungan Atletico Madrid dengan Barcelona.

Barca bergelut di bawah kendalian Ronald Koeman pada musim lalu sebaik penghijrahan Messi ke Paris Saint-Germain (PSG), dan Xavi mula dapat memulihkan kemerosotan itu dengan menguasai tempat teratas LaLiga menjelang kunjungan ke ibu negara Sepanyol, awal pagi esok.

Skuad Blaugrana sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan musim ini dengan berhasil memujuk kehadiran Robert Lewandowski tetapi persembahan mereka di peringkat Eropah masih goyah.

Mereka tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) untuk musim kedua berturut-turut.

Ditanya adakah Barca adalah pasukan yang kurang mengancam tanpa Messi, Simeone memberitahu wartawan: "Di mana Messi berada, dia akan sentiasa menjadi penentu, baik dalam pasukan kebangsaan, pasukannya sekarang mahupun di Barcelona.





"Dengan karakter pemain seperti Leo, pasti ada peluang yang lebih baik untuk menang."

Simeone membandingkan pengaruh Messi dengan mendiang Diego Maradona yang pernah bermain di samping pengurus Atletico itu dalam Piala Dunia 1994.

"Apabila saya beraksi dalam Piala Dunia bersama Maradona, dia sudah veteran, ada perasaan yang sukar bahawa kami akan kalah tetapi mujur kami memiliki pemain terbaik," tambahnya.

"Dan jika anda mempunyai yang terbaik adalah lebih mudah untuk menang."