Pemeriksaan imbasan CT ke atas Fernando Torres mendapati pemain itu bebas daripada sebarang kecederaan serius selepas mengalami pelanggaran kepala ketika berdepan Deportivo La Coruna dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.

Atletico mengesahkan pemeriksaan awal mendapati pemain itu tidak mengalami kecederaan serius.

"Berita baik -- Torres telah melalui pemeriksaan tengkorak dan serviks," kelab itu mengumumkan di Twitter.

"Tiada sebarang kecederaan traumatik. Torres sudah sedarkan diri dan akan menghabiskan satu malam di hospital mengikut protokol perubatan."

Torres, yang dibawa masuk dalam babak kedua, tidak sedarkan diri selepas berlanggar kepala dengan Alex Bergantinos di hujung perlawanan yang berkesudahan seri 1-1.

Insiden tersebut memakan masa hampir lima minit tempoh perlawanan.

Torres meninggalkan padang di atas pengusung, dengan beberapa pemain hampir berlinangan air mata tatkala melihat pemain itu terlantar di atas padang.

Selepas menjalani pemeriksaan, Atletico mengesahakn pemain itu sudah sedar dan dalam keadaan stabil.

Bekas penyerang Liverpool dan Chelsea itu bakal menjalani pemeriksaan lanjutan hari ini.

Sementara itu, pengendali Atletico, Diego Simeone, mendedahkan dia dan pemain lain yang berada di bangku simpanan terdengar bunyi keretakan tulang ketika perlanggaran tersebut berlaku dan gusar Torrens mengalami kecederaan leher yang lebih serius.

"Hantukan itu terlalu kuat. Saya dapat mendengar bunyi keretakan yang kuat. Saya tidak tahu sama ada bunyi itu datang daripada lehernya," ujarnya.

Bagaimanapun, Simeone lega apabila ujian mendapati Torres bebas daripada kecederaan serius.

"Dia sudah sedar, kami sangat bimbang," tambahnya.

Berikut video insiden tersebut:


Kredit video: Youtube Match Day Show