Mikel Arteta menyifatkan 'malam istimewa' untuk Arsenal selepas Declan Rice menanduk gol tujuh minit memasuki masa kecederaan untuk memperoleh kemenangan penuh dramatik 4-3 ke atas Luton Town di Kenilworth Road.

Rice melompat tinggi menyambut hantaran Martin Odegaard dan meraih kemenangan sekaligus memberikan kelebihan lima mata buat Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris.

Keputusan awal seakan memihak Luton apabila Ross Barkley melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya, untuk meletakkan tuan rumah 3-2 di hadapan pada awal separuh masa kedua dan menjadikan penyokong tuan rumah bersorak kegembiraan.


Arteta berkata, "Saya sangat menikmatinya, terutamanya pada penghujung perlawanan.

"Ia adalah perkara yang luar biasa tentang bola sepak, emosi dan detik-detik yang anda lakukan bersama. Ia adalah malam yang istimewa.

"Perlu memberikan kredit kepada Luton atas suasana yang luar biasa yang mereka lakukan dan cara mereka bermain.

"Mereka menyukarkan perancangan kami, namun kami menemui cara untuk menang. Ketahanan dan perwatakan pasukan cukup berkualiti sepanjang perlawanan.

"Bermain setiap tiga hari, dan kami perlu menang setiap perlawanan, Kami wajib menang. Ia adalah tuntutan pasukan. Ia adalah cara pemain menerimanya, menunjukkan kesungguhan mereka mahu menang.

"Hari ini kami dibolosi gol yang agak mengecewakan. Tapi itulah adat permainan, ia akan berlaku. Ia cara bagaimana kami bertindak balas terhadapnya."

Gabriel Martinelli membuka jaringan seawal minit ke-20 susulan berjaya menerima hantaran Bukayo Saka.

Tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Gabriel Osho lima minit kemudian sebelum Arsenal kembali mendahului menerusi Gabriel Jesus sebelum menuju ke bilik persalinan.

Bersambung di separuh masa kedua, Luton mempamerkan permulaan garang, dua jaringan terhasil menerusi Elijah Adebayo dan Ross Barkley menggamit gempita suasana pasukan tuan rumah.

Arsenal kembali membuktikan pengalaman menjadi pemisah apabila dua jaringan lagi daripada Kai Havertz dan Rice untuk menoktahkan kemenangan The Gunners untuk kekal di puncak liga.