Mikel Arteta menegaskan tiada gunanya membandingkan Liga Perdana Inggeris (EPL) moden dengan era lalu dan pengurus Arsenal itu percaya persaingan sengit dalam kelompok atasan tidak pernah berlaku sebelum ini.

The Gunners akan bertandang ke Newcastle sambil mengetahui kemenangan boleh membawa mereka ke puncak EPL dengan pendahulu, Tottenham, tidak beraksi hingga awal pagi Selasa.

Hanya empat mata memisahkan lima pasukan teratas ketika ini dengan kelab bekas ketua pengurus Arsenal, Unai Emery, iaitu Aston Villa turut mencabar pasukan yang lebih mantap seperti Liverpool dan juara bertahan. Manchester City.

Newcastle pula di kedudukan ke keenam dan belum tewas dalam liga sejak 2 September lalu.

“Apa yang berlaku dalam tempoh lima tahun lalu tidak pernah terjadi sebelum ini,” kata Arteta sebelum bertolak ke St James’ Park untuk pertemuan awal pagi esok.




“Ia tidak pernah berlaku dengan pungutan mata yang sengit selain tahap kelab yang masing-masing hebat. Kini jumlah pasukan di tahap seperti ini yang makin meningkat dan bertambah.

“Sebab itu membandingkan dengan masa lalu merupakan sesuatu yang membuang masa. Persaingan ketika ini sangat berbeza dengan keadaan dahulu dan pada hari ini, kami dituntut melakukan rutin dalam skop yang berbeza pada setiap hari."