Kisah perjuangan Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris seringkali dinodai titik hitam saat berkunjung ke satu gelanggang – Goodison Park.

Rekod menunjukkan sejak 2019, kunjungan Arsenal ke stadium milik Everton itu berakhir dengan empat kali kemenangan buat The Toffees dan satu seri.

Disebabkan itu, perlawanan Ahad lalu lebih daripada sekadar pertembungan dengan pasukan yang sedang bergelut tetapi satu ujian untuk mengatasi kelemahan yang telah wujud buat sekian lama.

Musim lalu menyaksikan persembahan cukup dominan daripada Arsenal buat tempoh yang lama sepanjang musim, terutama kekebalan mereka dalam mempertahankan serangan bola pegun dari pihak lawan.

Malang sekali, tandukan pemain Everton, James Tarkowski, dari sepakan sudut musim lalu bukan sahaja menghadiahkan kemenangan buat The Toffees, tetapi turut mengakhiri rekod sepanjang 16 perlawanan tanpa bolos dari bola pegun milik Arsenal.

Pada penghujung musim, Arsenal bolos sebanyak empat kali lagi akibat bola pegun juga, menurut statistik The Guardian.

Gol itu turut menjadi pencetus buat pasukan-pasukan lain mengenal pasti satu kelemahan melibatkan penjaga gol utama Arsenal, Aaron Ramsdale.

Semenjak detik itu, Ramsdale sering dihujani lontaran jauh, sepakan sudut yang melencong ke arah pintu gol serta serangan fizikal penuh licik – kesemuanya dilakukan dengan harapan agar penjaga gol itu melakukan kesilapan dan menghadiahkan gol buat pihak lawan.

Mengambil pengajaran daripada kekalahan perit itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengambil tindakan berani untuk menggantikan Ramsdale dengan penjaga gol simpanan, David Raya.



Menurut Arteta, Raya merupakan penjaga gol yang lebih sesuai menangani pertarungan di udara dan mampu meneutralkan corak serangan Everton.

Perlawanan berakhir dengan hanya satu percubaan tepat dan satu sepakan sudut buat Everton, maka ia tidak dapat dipastikan sama ada strategi Arteta itu membuahkan hasil seperti yang dirancang tetapi apa yang penting adalah mereka tidak bolos pada akhirnya.

Namun, pertarungan udara bukanlah satu-satunya masalah yang Arsenal hadapi.

Seringkali, mereka memulakan perlawanan dengan baik tetapi ada kalanya mereka hilang momentum, disusuli kehilangan semangat dan akhirnya pulang dengan keputusan mengecewakan.

Contoh terbaik adalah sewaktu menentang Liverpool dan West Ham musim lalu, di mana mereka mendahului selesa 2-0 tetapi kemudian hilang fokus dan akhirnya hanya mampu seri.

Separuh masa pertama menyaksikan The Gunners mendominasi perlawanan manakala Everton beraksi secara pasif dan tidak bermaya. Arsenal seolah-olah hanya menanti waktu untuk membolosi gawang.

Mereka pastinya menyangka gol yang didambakan tiba seawal minit ke-19 hasil jaringan pemain sayap, Gabriel Martinelli, tetapi ia dibatalkan selepas pemeriksaan VAR, dan malang sekali, Martinelli kemudian terpaksa ditukarkan akibat kecederaan.

Pada detik itu, ramai yang tertanya-tanya sama ada Arsenal bakal hilang rentak sekali lagi seperti kebiasaannya dan skrip kekecewaan di Goodison Park bakal berulang. Jawapannya tidak sama sekali.



Arsenal memulakan separuh masa kedua dengan dominasi serupa dan gol Leandro Trossard yang tiba pada minit ke-61 adalah hasil hantaran demi hantaran yang penuh sabar dan berhati-hati.

Gol itu bukan sekadar gol pendahuluan, ia merupakan lambang kemajuan Arsenal daripada segi ketabahan dan kemampuan untuk beradaptasi sebaik-baiknya.

Kemenangan ini adalah bukti bahawa Arsenal berhadapan dengan segala memori pahit tanpa rasa gentar dan akhirnya berdiri teguh sebagai pemenang.

Mereka masih lagi belum mencapai tahap yang sama seperti musim lalu, belum juga membuktikan kesilapan yang membolehkan Manchester City mengatasi mereka ke takhta juara, telah diatasi.

Namun, apa yang pasti adalah mereka terus kekal maju dan layak digelar sebagai salah satu pencabar utama musim ini.