Pertahanan PDRM, Alif Naquiddin Shouffi, kekal setia bersama The Cops apabila mengesahkan akan bersama pasukan itu untuk tahun kelima berturut-turut bagi saingan musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui keputusan berkenaan dibuat kerana terhutang budi dengan Sang Saka Biru yang banyak membantu karier bola sepaknya.

Alif mengharungi musim cemerlang apabila membantu PDRM memenangi Piala Cabaran dengan menewaskan Kuching City musim lalu.

Dia membentuk kombinasi ampuh di bahagian pertahanan bersama Amir Saiful Badelo, James Okwuosa, Alif Najmi Shaaani dan Safiee Ahmad, termasuk penjaga gol, Ramadhan Hamid.

Bagaimanapun, penuntu Ijaazah Pengurusan Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengakui cabaran berbeza akan menanti pasukannya musim ini susulan penghijrahan beberapa pemain utama ke kelab lain.

"Saya rasa yang agak rasa (kehilangan) James Okwuosa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Kerana dia seorang pemain yang agak kuat di bahagian bawah, Ramadhan Hamid juga sama.

"Mereka menstabilkan pasukan kami kerana kami pasukan yang lebih bertahan daripada segi taktikal.

"Saya harap dengan kedatangan penggantinya, ia mampu memberikan impak yang sama," katanya.

Mengulas lanjut mengenai masa depannya, dia menambah: "Buat masa ini saya masih kekal dengan PDRM kerana PDRM banyak membantu saya daripada seorang pemain yang agak tidak berprestasi di atas padang.

"Pihak pengurusan juga menyokong dengan bagus, mereka amat menyokong. Kemudian daripada segi barisan kejurulatihan juga amat menyokong saya.

"Jadi saya harap 2024 ini akan menjadi tahun yang cemerlang buat saya," katanya.