Malaysia tunduk kepada China 4 berbalas 2 dalam perlawanan kedua Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia.

Ia bukan permulaan baik buat anak buah Sarjit Singh apabila ketinggalan kepada China di suku pertama.

Gol berpunca daripada pukulan sudut penalti dengan Gao Jiesheng melakukan tolakan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol negara, Zaimi Mat Deris pada minit kesembilan.

Malaysia cuba mengatur gerakan untuk mencari gol penyamaan.

Dan usaha mereka berhasil menerusi gol padang Azrai Abu Kamal.

China menggandakan asakan di suku ketiga dan dihadiahkan penalti stroke tetapi penjaga Zaimi cemerlang menampan tolakan kapten China, Meng Dihao.

Tapi China tidak berputus asa apabila berjaya jaringkan dua gol di suku ketiga untuk kelebihan 31 menerusi pukulan sudut penalti dan juga gol padang.

Suku keempat anak buah Sarjit cuba mencipta kebangkitan dan merapatkan jurang dengan gol kedua yang disempurnakan Faizal Saari menerusi pukulan sudut penalti.

Namun China kembali memastikan kelebihan dua gol apabila Chao Jieming menyempurnakan penalti stroke untuk kedudukan 4-2.

Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.

"Ini bukan keputusan yang diinginkan. Ada beberapa kesilapan dilakukan pemain sehingga membenarkan pemain lawan menjaringkan gol padang dan PC. Kami juga gagal memanfaatkan beberapa peluang yang ada untuk menjaringkan gol serta tidak klinikal dalam kawasan 'D'," kata Sarjit.

"Kami perlu mengambil tanggungjawab kerana gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol padang dan PC. Dari segi possession yes kami bermain lebih baik, tetapi dalam perlawanan jumlah jaringan menjadi penentu kedua-dua pasukan.

"⁠Rehat esok, barisan kejurulatihan akan memastikan pemain mendapat rehat yang cukup menjelang pertemuan dengan India dan kami akan membuat asalisis berkaitan pasukan India serta membaiki kelemahan yang berlaku pada hari ini.

"Persaingan masih lagi terbuka dan kami akan berusaha keras untuk berada pada kelompok 4 terbaik."