Penyokong kelab Thailand, Muangthong United, dikhabarkan melancarkan kempen boikot menjelang aksi pembukaan Kumpulan H Liga Juara-Juara 2 (ACL2) berdepan Selangor di Stadium Rajamangala, petang ini.

Antara faktor gerakan boikot adalah susulan penukaran venue ke Stadium Rajamangala selain waktu perlawanan yang dilangsungkan pada waktu petang yang akan memberi kesan kepada jumlah kehadiran penyokong termasuk masalah kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar Ramkhamheng.





Menurut satu kenyataan kumpulan penyokong itu, tiada perlawanan bola sepak adalah umpama kekurangan warna dalam hidup tetapi sekiranya tiada kehidupan maka tiada bola sepak.

Bagaimanapun, Stadium Rajamangala dijangkakan tidak akan sepi memandangkan sebelum ini pihak pengurusan kelab bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Sukan Thailand untuk membenarkan golongan belia menonton perlawanan ACL2 secara percuma, dengan 60,000 tempat duduk disediakan untuk ketiga-tiga perlawanan pusingan pertama.