Ketua jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi, berkata barisan pemainnya sedang berada dalam motivasi terbaik menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang kelab Thailand, Muangthong United, di Petaling Jaya malam esok.

Katsuhito akan mengendalikan aksi pertamanya bersama Selangor dalam perlawanan itu selepas tiba di Malaysia beberapa hari lalu.

Melewati dua sesi latihan bersama Selangor, dia sudah dapat melihat potensi yang dimiliki pemain Gergasi Merah itu dan yakin mereka akan dapat mempamerkan aksi terbaik untuk memenangi pertembungan berkenaan.

"Pemain memiliki kuasa untuk bermain. Kuasa seperti ini, saya dan anda tiada," katanya dalam sidang media.

"Tidak kira anda ada banyak duit, anda tidak boleh bermain di atas padang.

"Mereka memiliki kuasa dan hak untuk menunjukkan kemampuan mereka di atas padang.

"Jadi saya memberitahu bahawa mereka boleh menggunakan kuasa itu di Selangor atau di mana-mana sahaja seluruh Malaysia.

"Jadi mereka akan melakukannya. Saya dapat rasakan motivasi mereka dan mereka tahu kuasa mereka untuk bermain.

"Buat masa ini, saya amat berpuas hati," katanya.

Selangor ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan H dengan tujuh mata daripada empat perlawanan.