Bekas penjaga gol Arsenal, David Seaman, percaya Aaron Ramsdale terlalu bagus untuk menjadi pilihan nombor dua di The Gunners.

Ramsdale memulakan perlawanan Perisai Komuniti dan empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tetapi hanya melakukan dua penampilan dalam Piala Liga Inggeris (EFL) sejak ketibaan David Raya secara pinjaman daripada Brentford.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dijangka akan mempertaruhkan Ramsdale ketika menentang Brentford Sabtu ini berikutan peraturan EPL menghalang Raya daripada berdepan kelab induknya.

"Jika Aaron diturunkan pada hujung minggu maka dia akan diketepikan untuk perlawanan seterusnya, maka kita tahu siapa pemain nombor satu pilihan Mikel," kata Seaman kepada BBC Radio Five Live.





“Ia tidak bagus untuk Aaron. Dia seorang penjaga gol kelas handalan, tiada keraguan tentangnya.

"Aaron terlalu bagus untuk menjadi pilihan nombor dua, itu sudah pasti."