Pep Guardiola memahami keputusan Real Madrid untuk memboikot Anugerah Ballon d'Or awal pagi semalam sambil berkata 'ia terpulang kepada mereka'.

Rodri menggondol anugerah terbesar dalam majlis itu setelah membantu Manchester City memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) keempat berturut-turut selain menjadi sebahagian skuad Sepanyol ketika memenangi Euro 2024.

Kepentingan pemain tengah itu dapat dilihat ketika City melalui 34 perlawanan EPL tanpa kalah sepanjang tahun ini.

Rodri mengetepikan cabaran Vinicius Junior, yang mana pemain sayap itu bersama rakan-rakan sepasukannya di Madrid mencetuskan kontroversi tidak menghadiri anugerah itu selepas mengetahui dia tidak memenanginya.

Vinicus menghasilkan 24 gol dan 11 bantuan liga musim lalu, di mana Los Blancos menenangi LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Guardiola dapat merasakan kekecewaan Vinicius, yang dirasakan turut layak memenangi anugerah itu tetapi turut memberikan pandangan tersendiri.

"Terpulang kepada mereka," kata pengurus The Citizens itu.

"Jika mereka mahu mengucapkan tahniah, itu tidak mengapa. Jika tidak, itu juga tidak mengapa. Di Manchester City, kami tidak berada di sini untuk menilai kelab lain mengenai apa yang mereka putuskan untuk lakukan.

"Tahun lalu, sebagai contoh, Erling (Haaland) memenangi treble, menjaringkan lebih daripada 50 gol. Saya berkata kepadanya: 'hanya untuk berada di sana, anda perlu berasa sangat gembira'.

"Saya berkata perkara yang sama kepada Rodri. 'Jika anda berada dalam dua, tiga atau empat tempat teratas, itu luar biasa. Anda mesti berpuas hati'.

"Musim lalu, patutkah Erling menang? Ya. Sepatutnya Messi menang? Ya. Ia tidak penting (siapa yang menang). Ia menunjukkan bahawa anda dan rakan sepasukan telah melakukan sesuatu yang sangat bagus musim itu.

"Sepatutnya Vinicius menang? Mungkin. Ia (diundi oleh) wartawan, anda tahu bukan kumpulan elit ang membuat keputusan. Ia (orang) di seluruh dunia yang mengundi, bukan hanya satu negara. Terdapat pendapat yang berbeza dan itulah apa yang menggembirakan bola sepak, bukan?

"Sudah tentu, jika (Vinicius) menang, ia lebih daripada sepatutnya. Begitu juga dengan Erling (Haaland) tahun lalu. Ia akan benar-benar terbuka. Akan ada lebih banyak peluang untuk menang," katanya.