Luis Enrique melihat gambaran yang lebih besar selepas Sepanyol terikat dengan Jerman apabila berpuas hati dengan hakikat La Roja menuju ke perlawanan penentuan Kumpulan E, Piala Dunia di Qatar sebagai pendahulu.

Jaringan Alvaro Morata dalam separuh masa kedua meletakkan Sepanyol di landasan tepat untuk meraih kemenangan kedua dan ia akan memastikan tempat mereka ke pusingan 16.

Tetapi Niclas Fullkrug menyamakan kedudukan pada lewat permainan untuk memastikan Jerman mengutip satu mata yang akan menawarkan Die Nationalelf keyakinan yang tepat pada masanya di sebalik nasib mereka secara dasarnya di tangan Sepanyol.

Walaupun Sepanyol menikmati lebih banyak penguasaan bola, awal pagi tadi, peluang Jerman lebih berbahaya dan ia membuktikan bahawa barisan yang diterajui Hansi Flick itu mencipta peluang yang lebih baik.

Namun, realitinya Sepanyol kekal menguasai kumpulan dengan empat mata dan meskipun mereka mungkin berada di kedudukan yang lebih baik selepas berdepan Jerman, Luis Enrique tidak meragui kedudukan mereka.

"Secara teorinya, ini adalah kumpulan maut," katanya kepada La 1.




"Jika selepas undian kami diberitahu bahawa selepas dua perlawanan pertama kami akan mengetuai kumpulan dan kami hanya bergantung kepada diri kami sendiri, saya akan bersetuju."

Tambahnya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu: "Keputusan seri menentang Jepun sudah memadai tetapi kami tidak akan membuat sebarang spekulasi.

“Ya, sayang dengan keputusannya tetapi kami perlu gembira kerana kami adalah pendahulu dalam kumpulan maut ini.

“Berikutan keputusan seri ini yang telah memukau orang ramai menerusi corak permainan kualiti, ia membuatkan kumpulan ini menarik nafas panjang.

"Adalah tidak masuk akal untuk membuat spekulasi dalam saingan yang singkat ini. Kami akan mencari pilihan terbaik daripada segi kesebelasan utama.

"Apa pun segalanya bermula sekarang. Inilah realitinya ketika ini dan matlamat kami adalah lolos sebagai juara kumpulan.

"Jerman perlu memikirkan untuk mengalahkan Costa Rica yang merupakan sebuah pasukan yang mantap. Kami jamin akan menentang Jepun untuk menang."