Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan media hari ini memohon maaf kepada pihak penganjur dan peminat sukan badminton artas insiden kebocoran bumbung ketika Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2025 sedang berlangsung di Axiata Arena.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, proses penggantian bumbung lama sejak 1998 itu sedang berlangsung dan penukaran itu mengambil masa selama setahun tanpa perlu menutup Axiata Arena.

Kebocoran pada gelanggang badminton satu dan dua yang berlaku pada waktu petang semalam itu menyaksikan beberapa aksi terpaksa ditunda ke hari berikutnya dengan tempat duduk penyokong turut terjejas.

"Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada semua pihak terutamanya pihak penganjur dan peminat sukan badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena semalam sehingga mengganggu aksi Badminton Terbuka Malaysia yang terpaksa dihentikan untuk seketika.

"Masalah kebocoran pada bumbung Axiata Arena adalah kerana proses penggantian bumbung lama (sejak 1998) kepada yang baru telah dibuat pada pertengahan 2024.

"Proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara. Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena.

"Menurut Encik Iliyas Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, kebocoran yang berlaku disebabkan oleh air hujan yang menitis dan terkena pada gelanggang. Justeru, PSM dengan kerjasama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja segera untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang dan gelanggang boleh digunakan semula pada jam 8.00 malam.

"Tambah beliau lagi, pada malam tersebut, PSM dan kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja yang lebih untuk memastikan masalah ini tidak berulang pada hari-hari berikutnya.

"PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 orang kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden ini tidak lagi berulang.

"Pihak JKR dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja yang bersesuaian dan ianya sedang berjalan. PSM telahpun mengenalpasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

"Pihak PSM juga telah mengadakan mesyuarat dengan pihak JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024 yang lalu dan menekankan kepentingan acara tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung ini dan telah diberi keyakinan bahawa pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya." katanya.