Kejohanan Olahraga Grand Final Varsity (GVF) 2024 menyaksikan barisan sukarelawan terdiri daripada pelajar-pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang sanggup mengorbankan cuti mereka demi merasai sendiri pengalaman untuk terlibat sama dalam penganjuran kejohanan tersebut.

Sebelum diluluskan untuk menjadi sukarelawan, mereka terlebih dahulu perlu menjalani kursus pengendalian acara yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kelancaran sepanjang kejohanan berlangsung.

"Kami perlu menjalani kursus selama satu hari dan pengagihan tugas turut diberikan termasuk pemberitahuan 'call time' iaitu sebelum pukul 7.00 pagi," kata salah seorang daripada sukarelawan tersebut.

Penglibatan dalam kejohanan ini dianggap sebagai satu keputusan yang tepat oleh Nurul Fatimah yang juga kini sedang menuntut di universiti sama.

"Tipu lah kalau tidak penat tetapi memandangkan kita sememangnya meminati aktiviti kesukarelawanan seperti ini jadi perasaan penat tu tidak terasa sangat," katanya.

Meskipun hadir sebagai sukarelawan namun kewibawaan yang ditunjukkan setiap ahli kesukarelawanan dalam menjayakan kejohanan ini perlu diberikan pujian.

Pengalaman yang berharga seperti ini pasti akan menjadi kenangan manis sebagai pelajar universiti dan akan diingati sampai bila-bila.