Pengumuman Katsuhito Kinoshi selaku jurulatih utama yang baru Selangor menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan kerana memiliki pengalaman yang luas dalam bidang tersebut.

Pelantikan tersebut sekali gus menjawab persoalan kumpulan penyokong yang bertanya keadaan Selangor mempunyai lima jurulatih dalam masa enam musim.

Susulan peletakan jawatan Nidzam Jamil bulan lalu, naib juara Piala FA 2024 itu akhirnya sudah menemui pengganti sempurna bagi meneruskan misi dan visi The Red Giants.

Katsuhito merupakan pembantu pengendali skuad kebangsaan Serbia yang diketuai oleh Dragan Stojkovic sejak 2021. Sudah tentu karier berkelana di Eropah menjadi pemangkin buat dirinya untuk diterapkan dalam sistem permainan Selangor.



Sebelum ini, DNA Jerman di bawah bimbingan Karsten Neitzel dan Michael Feichtenbeiner telah digunakan, namun hasilnya tidak begitu memuaskan yang akhirnya kembali ke bakat lokal, Tan Cheng Hoe.

Dalam masa sama, gaya permainan Jepun juga boleh menjadi pilihan Katsuhito oleh kerana pernah bersama Nagoya Grampus dan Yokohama.

Sama-sama kita saksikan perkembangan Selangor pasca pengambilalihan Katsuhito demi melihat kembali Gergasi Merah berkuasa di arena bola sepak Malaysia.