Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, menafikan desakan daripada penyokong serta tekanan yang dipikulnya menjadi faktor beliau mahu meninggalkan badan induk bola sepak itu.

Hamidin mula memegang jawatan itu pada 2018 dan akan menamatkan perkhidmatannya pada 15 Februari depan.

Hamidin telah dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM Ke-54 pada 2018 dan seterusnya mengekalkan jawatannya itu buat penggal kedua iaitu 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM Ke-57 pada 2021.

Di bawah kepimpinan beliau, Harimau Malaya berjaya layak secara merit ke Piala Asia 2024 selepas 42 tahun, berjaya memenangi Piala Pestabola Merdeka baru-baru ini selain memperbaiki ranking Harimau Malaya ke arah yang lebih baik.

"Ini keputusan saya selepas berbincang dengan keluarga. Tiada apa pun yang pelik.

"Tiada kaitan dengan desakan penyokong atau sebagainya.

"Ia bukan keputusan terburu-buru, tetapi sudah lama saya fikirkan untuk habiskan penggal ini sahaja. Inilah peluang terbaik untuk ahli gabungan pilih presiden baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-13 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

"Apa yang paling penting, kesinambungan pemimpin baharu akan bawa untuk FAM menjadi lebih bagus. Saya tidak penting, namun FAM perlu terus berada di landasan terbaik dan saya akan terus memberikan sokongan," katanya.