YSD Track Series pentas pelumba wanita serlah bakat -- Tunku Imran
Shaiful Shamsudin
December 8, 2024 18:24 MYT
December 8, 2024 18:24 MYT
Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Imran Tan Sri Tuanku Ja'afar, gembira melihat hasil penganjuran YSD Track Series 2024 yang melahirkan bakat baru, lebih-lebih lagi buat atlet wanita.
"Apa yang menariknya, kita mempunyai pelumba wanita yang menakjubkan yang berani dan berkemahiran seperti pelumba lelaki.
"Saya ingin melihat mereka mampu ke peringkat antarabangsa selain ingin melihat lebih banyak pertandingan final yang membabitkan pelbagai peringkat umur, baik lelaki dan wanita," katanya menjelang Grand Final YSD Track Series 2024 yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember ini.
Tunku Imran ditemui sempena sambutan amal Krismas anjuran Malaysia British Society (MBS) yang juga memberi fokus terhadap kecemerlangan atlet negara di persada dunia.
Presiden MBS, Amarjeet Singh, pula menekankan misi persatuan itu dalam memberi sokongan untuk menaikkan sukan negara bermula dari peringkat akar umbi.
"Sukan patut dibangunkan di peringkat sekolah lagi. Kita pernah menyaksikan usaha Tunku Imran ini telah melahirkan juara seperti Datuk Nicol David (skuasy), Gavin Green (golf), Datuk Shalin Zulkifli (boling tenpin) dan sekarang S Sivasangari (skuasy).
"MBS menaruh kepercayaan terhadap sukan," ujarnya pula.