YSD Track Series Grand Final: Pertembungan dua beradik 'Sahrom' cetus kehangatan
Muzaffar Musa
December 19, 2024 20:23 MYT
December 19, 2024 20:23 MYT
Olimpian negara, Shah Firdaus Sahrom, melupakan kepenatannya untuk bersaing dalam perlumbaan YSD Track Series Grand Final bermula esok.
Ini biarpun pelumba elit negara itu baru sahaja pulang daripada Kejohanan Liga Juara-Juara Trek UCI di London, England baru-baru ini.
Lebih menarik, dia akan berentap dengan adik kandungnya, Ridwan Sahrom, dalam perebutan juara keseluruhan siri perlumbaan berkenaan.
Shah Firdaus sepatutnya menamatkan musimnya di London tetapi menyifatkan peluang beraksi dalam YSD Track Series selaku perlumbaan penutup tirainya sebagai satu kebangsaan.
Atlet kelahiran Johor itu juga menjanjikan kayuhan bertenaga dalam memberikan cabaran kepada Ridwan dalam kategori pecut elit.
"Sepatutnya musim saya sudah habis sewaktu di London lalu kerana YSD ini sepatutnya berlangsung sewaktu saya berada di sana," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Tetapi saya tidak tahu alasan penundaannya, jadi Alhamdulillah saya dapat menyertainya dan ia akan menjadi perlumbaan terakhir saya bagi 2024.
"Saya akan melakukan yang terbaik walaupun jurang mata dengan adik saya sudah jauh, jadi saya akan mencuba dan kalau dapat nombor dua juga sudah memadai."
Sementara itu, Ridwan, yang ketika ini sedang berada di tangga teratas pecut lelaki elit. akan mengekalkan fokusnya untuk memastikan gelaran juara keseluruhan.
"Cabarannya agak berliku kerana rakan-rakan yang lain juga agak hebat dan pelumba dari negeri juga memberikan saingan yang hebat.
"Jadi saya hanya akan memandang ke hadapan untuk mengejar status juara keseluruhan.
"Saya mahu berlumba dengan baik dan mahu semua orang lihat bahawa pelumba lain juga mampu bersaing dengan pelumba negara, jadi kita akan lihatnya esok," katanya.