WWE Wrestlemania Backlash: Ronda rampas kejuaraan Charlotte, The Bloodline perkukuh legasi
Hafiz Azwany Taher
May 10, 2022 11:25 MYT
May 10, 2022 11:25 MYT
Setelah tewas hasil kelicikan Charlotte Flair di acara WWE Wrestlemania awal bulan lalu, akhirnya “Rowdy” Ronda Rousey berjaya menebus semula kekecewaannya apabila dijulang sebagai Juara Wanita Smackdown baharu di acara WWE Wrestlemania Backlash yang berlangsung pagi semalam.
Pertembungan Ronda dan Charlotte kali ini berlangsung dalam format perlawanan “I Quit”, di mana mereka dibenarkan untuk melakukan apa sahaja ke atas lawan masing-masing sehinggalah lawan mereka itu terpaksa mengaku kalah dan menyebut perkataan tanda menyerah itu.
Beberapa percubaan Charlotte untuk membuatkan bekas jaguh seni bela diri campuran itu untuk mengaku kalah menemui jalan buntu kerana Ronda terus enggan mengungkapkan perkataan I Quit, walaupun Charlotte menggunakan objek asing sebagai senjata di dalam gelanggang. Rotan kendo dan kerusi besi menambah rencah dalam perlawanan lasak ini dan ia turut berlarutan sehingga ke celah-celah penonton yang membanjiri arena.
Kunci penyudah Figure Eight oleh The Queen juga belum cukup ampuh untuk mematahkan semangat Ronda sehingga berjaya melepaskan diri. Akhirnya kerusi besi yang dibawa Charlotte ke atas gelanggang “makan tuan” apabila pada satu ketika Ronda merenggut lengan Charlotte di celah kerusi besi tersebut dengan gerakan arm-bar. Charlotte cuba bertahan, namun akhirnya menjerit kesakitan dengan mengaku kalah selajur melaungkan, “Yes, I quit!”
.@RondaRousey forces @MsCharlotteWWE to scream "I QUIT!" at #WMBacklash! pic.twitter.com/tLwkU79knO
— WWE (@WWE) May 9, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kemenangan Ronda ini sekaligus menobatkannya sebagai Juara Wanita di jenama Smackdown buat kali pertama, setelah kali terakhir bergelar Juara Wanita Raw pada tahun 2019.
Natijah daripada apa yang berlaku, WWE melaporkan yang Charlotte telah mengalami kepatahan tulang radius di lengannya dan bakal direhatkan selama beberapa bulan untuk menjalani rawatan dan pemulihan.
Satu lagi kejutan turut berlaku ketika perlawanan ulangan di antara AJ Styles dan Edge. Walaupun sekutu Edge iaitu Damien Priest kali ini telah diharamkan daripada berada di sisi gelanggang bagi memastikan kelancaran perlawanan tanpa gangguan luar, namun ia tidak menghalang bintang Hall Of Fame itu untuk menundukkan AJ Styles.
Ketika AJ berada di puncak tali gelanggang untuk melancarkan gerakan Phenomenal Forearm, satu susuk misteri dengan jubah dan hud kepala muncul lantas menolak AJ ke bawah. Peluang ini dimanfaatkan Edge dengan melakukan gerakan submission ke atas leher AJ, menyebabkan bekas juara WWE pengsan dan tidak mampu meneruskan perlawanan.
It's @RheaRipley_WWE!!! #WMBacklash pic.twitter.com/lvT4JtSVt8
— WWE (@WWE) May 9, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pasca perlawanan, sesuatu yang telah dijangka oleh ramai peminat menjadi kenyataan apabila individu misteri itu membuka hud kepala selajur mendedahkan identitinya adalah Rhea Ripley. Ia secara langsung mengisyaratkan yang bekas Juara Wanita Raw itu juga kini telah bersekongkol dengan Edge dan Damien Priest bagi menguatkan lagi pakatan Judgment Day.
Kemuncak acara WWE Backlash semalam turut menyaksikan gagasan The Bloodline yang dianggotai Juara Beregu Smackdown The Usos yang bergandingan dengan sepupu merangkap Juara Mutlak Universal WWE Roman Reigns berjaya menundukkan trio Drew McIntyre dan Juara Beregu Raw gandingan Riddle dan Randy Orton.
Selaku juara tertinggi WWE selama lebih 600 hari, kemenangan ini semenangnya telah dijangka walaupun RK-Bro dan McIntyre tidak memberikan laluan yang mudah kepada The Bloodline. Namun hasil satu rempuhan bahu yang cukup ampuh ke atas Riddle, Roman berjaya melakukan tindanan pin sekaligus memberikan kemenangan kepada mereka.
Yang pastinya, situasi ini bakal membuka lembaran baharu persengketaan di antara Roman dan McIntyre dengan Kejuaraan Mutlak Universal WWE bakal dipertaruhkan antara mereka. Melihat kepada perkembangan terbaharu yang menyaksikan Roman memperbaharui kontraknya bersama WWE dengan jadual untuk beraksi yang lebih fleksibel, tidak mustahil Drew McIntyre akan menjadi calon untuk menamatkan dominasi Roman selaku juara. Setidak-tidaknya di acara WWE Summerslam pada Ogos atau acara eksklusif Clash At The Castle yang bakal berlangsung di Cardiff, United Kingdom pada September depan.
Keputusan lain acara WWE Wrestlemania Backlash:
1. Cody Rhodes kalahkan Seth “Freaking” Rollins
2. Omos tumpaskan Bobby Lashley
3. Madcap Moss tewaskan Happy Corbin
(Foto: WWE.com)
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada 6 Jun depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.