WWE Horror Show at Extreme Rules: Ziggler terus kempunan ​

Hafiz Azwany Taher
July 20, 2020 12:34 MYT
Rezeki untuk bergelar juara nampaknya belum bertandang buat Dolph Ziggler apabila dirinya gagal dalam misi untuk merampas Kejuaraan WWE daripada Drew McIntyre di acara WWE Extreme Rules pagi tadi.
Pada awalnya, Ziggler menyangka mempunya kelebihan kerana diberi kuasa untuk menentukan stipulasi perlawanan. Justeru perlawanan Ekstrim tanpa undang-undang menjadi pilihannya. Yang membuatkan ia berat sebelah, undang-undang ekstrim tersebut hanya tergunapakai untuk dirinya seorang sahaja. Jika Drew melakukan sesuatu tindakan di luar batas peraturan, maka The Scottish Psychopath akan diberikan pembatalan DQ, sekaligus kejuaraan juga akan berpindah milik.
Pelbagai senjata digunakan Ziggler untuk melumpuhkan bintang kelahiran Scotland itu. Satu jatuhan siku yang padu sehingga meranapkan meja turut dilaksanakan. Namun semua itu tidak cukup ampuh untuk menumbangkan Juara WWE itu.
Kesudahannya, satu tendangan penyudah Claymore dihadiahkan tepat ke muka Ziggler, sekaligus memberikan kemenangan bergaya buat Drew McIntrye.
Dalam satu lagi perlawanan, bintang veteran Rey Mysterio menjadi mangsa kepada stipulasi perlawanan yang ditentukannya sendiri. Perlawanan mata untuk mata di antara bintang bertopeng itu dengan Seth Rollins ternyata penuh dengan adegan yang mengilukan, bila mana kedua-duanya cuba untuk mencederakan mata lawan masing-masing.
Sejarah yang berlaku di Raw beberapa bulan lalu berulang lagi apabila kemuncaknya, mata Rey Mysterio terbenam sekali lagi di bucu gelanggang akibat dihenyak Rollins, menyebabkan kecederaan parah pada matanya. Sekaligus mendatangkan rasa mual kepada Rollins sendiri walaupun dirinya adalah individu bertanggungjawab di atas kecederaan tersebut.
Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw pula berakhir dengan kontroversi apabila Asuka tersilap menyemburkan cairan hijau ke muka pengadil. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Bayley yang menjadi sekutu Sasha Banks dengan menanggalkan seragam pengadil daripada pengadil bertugas selajur memakainya.
Kiraan pin dilakukan Bayley sendiri dan mendakwa The Boss kini adalah juara baharu. Namun sudah tentu ia bukan keputusan rasmi kerana Bayley bukan seorang pengadil rasmi dan kemenangan Banks itu sudah pasti akan dipertikaikan oleh Asuka.
Kemuncak acara Horror Show at Extreme Rules pastinya perlawanan yang mengangkat tema seram iaitu Pergelutan di Paya di antara Bray Wyatt dan Juara Universal WWE Braun Strowman.
Dalam suasana ngeri dan penuh kegelapan itu, Wyatt menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menundukkan The Monster Among Men. Antaranya menggunakan beberapa balaci upahan untuk menyerang hendap Strowman, mengikat Strowman dengan rantai besi termasuk mempergunakan ilusi Alexa Bliss yang berjaya mengheret bintang gergasi itu masuk ke kawasan paya.
Penyudahnya, kedua-dua individu terjerumus masuk ke dalam paya diikuti dengan darah pekat yang memenuhi air tasik. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka telah dibaham buaya penunggu paya atau sebaliknya. Yang pasti, kemunculan The Fiend di penghujung siaran memberi isyarat yang sengketa Wyatt-Strowman ini akan terus berlarutan, sekurang-kurangnya sehingga acara Summerslam bulan hadapan.
Keputusan lain perlawanan di Horror Show at Extreme Rules:
1. Cesaro & Shinsuke Nakamura rampas Kejuaraan Beregu Smackdown daripada The New Day dalam Perlawanan Meja
2. Juara Wanita Smackdown Bayley tewaskan Nikki Cross
3. MVP isytiharkan dirinya Juara Amerika Syarikat yang baharu apabila Apollo Crews tidak dapat muncul pada saat akhir akibat kecederaan
(Foto: WWE.com)
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
#WWE
;