Wozniacki tepati ramalan, Shuai ke separuh akhir
Penulis Jemputan
July 29, 2017 09:11 MYT
July 29, 2017 09:11 MYT
Bintang tenis Denmark, Caroline Wozniacki, menepati ramalan dalamTerbuka Sweden apabila menewaskan lawan dari Ukraine, Kateryna Kozlova, untuk menempah tiket ke separuh akhir, semalam.
Wozniacki, yang juga pilihan utama kejohanan, membuktikan jurang yang besar di antara dirinya dan Kozlova apabila mencatat keputusan 6-3, 6-1.
Bekas pemain nombor satu dunia itu memerlukan masa selama satu jam 11 minit untuk menewaskan Kozlova yang berada di tangga ke-127 dunia.
Kemenangan itu menyaksikan pemain nombor enam dunia itu bakal bertemu Elise Mertens selepas pemain Belgium itu melepas cabaran pemain berusia 24 tahun dari Serbia, Aleksandra Krunic.
Sementara itu, Peng Shuai menyertai dua lagi rakan senegara dalam separuh akhir selepas menewaskan satu lagi wakil dari China, Lin Zhu, 7-6 (7-2) 6-0 di Nanchang.
Shuai bakal bertemu Han Xinyun di peringkat empat terbaik manakala satu lagi separuh akhir menyaksikan Wang Yafan akan menentang pemain Jepun, Nao Hibino.