Wozniacki langkah bergaya di Sweden

Penulis Jemputan
July 26, 2017 11:16 MYT
Pemain Denmark, Caroline Wozniacki, layak ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Sweden selepas menumbangkan cabaran pemain berusia 31 tahun, Pauline Parmentier, 6-3, 3-6, 6-2.
Wozniacki, yang diletakkan selaku pilihan utama, turun beraksi buat pertama kali selepas tewas di tangan Coco Vandeweghe dalam pusingan keempat Kejohanan Wimbledon, awal bulan ini.
Bagaimanapun, pemain yang berada di kedudukan keenam dunia itu menampilkan aksi yang memukau walaupun terpaksa bangkit dua kali dalam set pertama dan ketiga sebelum berjaya menewaskan Parmentier.
Pemain pilihan ketiga, Caroline Garcia, turut mempamerkan kebangkitan apabila menewaskan Irina-Camelia Begu tetapi tuah nyata tidak menyebelahi pemain tuan rumah, Johanna Larsson, selepas kemaraannya disekat oleh pemain Jerman, Mona Barthel, dalam penentuan set ketiga.
Sementara itu, pemain Australia yang berada di carta ke-132 dunia, Arina Rodionova, melakukan kejutan dalam Kejohanan WTA Terbuka Jiangxi selepas menyingkirkan juara bertahan, Duan Yingying, 7-5, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua.
Aksi di Nanchang, China itu menyaksikan pertarungan selama satu jam 42 minit dan bagi Rodionova, dia sememangnya melakukan persiapan rapi untuk bertemu Yingying selepas tewas dalam pertemuan sebelum ini.
“Saya bersiap sedia untuk perlawanan ini dan saya rasa ia agak sukar hari ini, namun gembira kerana dapat layak ke pusingan seterusnya,” kata Rodionova.
#Caroline Wozniacki #Ying-Ying Duan #WTA #WTA Tour #Tenis
;