Wartawan sukan rasai suka duka perjalanan atlet negara
Najmi Iman
August 5, 2024 00:36 MYT
August 5, 2024 00:36 MYT
Liputan wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani, menyentuh perasaan seluruh peminat badminton Tanah Air yang menyaksikan kejayaan perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, merangkul pingat gangsa kedua negara Sukan Olimpik Paris 2024.
Seperti sedia maklum, Ahmed Shahrazad merupakan seorang pengamal media yang sering mengemaskini tentang sukan badminton Malaysia dan lebih mengenali kesemua atlet negara tatkala sentiasa memberi sokongan penuh dan meniup semangat tinggi kepada mereka.
Kehidupan menjadi seorang wartawan di Astro Arena sangat menarik kerana lumrahnya mereka menyelusuri setiap detik atlet negara untuk berkongsi cerita dan menyampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pengarang Urusan Bilik Berita dan Digital Astro Arena, Bazly Azmi, beranggapan bahawa ia perkara yang perlu dibanggakan kerana wartawan sukan kerap mengikuti perjalanan suka duka atlet dan menjadi saksi kepada setiap permulaan karier serta melihat sendiri kebangkitan wakil negara mencipta sensasi di temasya berprestij dunia.
Itulah gambaran perasaan setiap penat lelah wartawan yang selalu memberikan perkembangan terhadap arena sukan negara.
"Ada yg berkampung di venue latihan beberapa hari semata-mata untuk berkongsi cerita kepada rakyat Malaysia.
"Benar, wartawan sukan perlu bersikap neutral tetapi kita manusia.
"Kita yang menyaksikan dari jauh di Tanah Air pun mata boleh berkaca, inikan pula mereka yang mengikuti perjalanan atlet negara. Perasaan itu bukan senang untuk dikawal," katanya.