Pemain All-Star NBA, John Wall, mengesahkan bakal kekal di Washington selepas menandatangani pembaharuan kontrak bersama Wizards.

Wizards mengumumkan perkara itu semalam selepas Wall menandatangani kontrak empat tahun bernilai USD170 juta (RM726 juta).

Wall -- yang masih memiliki baki dua tahun dan USD37 juta (RM158 juta) dalam kontraknya ketika ini selepas dipilih Wizards pada 2010 -- berkata:"Bukannya sukar untuk membuat keputusan kekal bersama satu-satunya pasukan yang saya kenal dalam karier profesional saya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, Leonsis, Ernie Grunfeld, dan semua barisan jurulatih serta rakan sepasukan kerana memberikan sokongan selama tujuh tahun ini. Saya akan terus bekerja keras dalam memperbaiki permainan saya.

"Washington DC adalah rumah kedua saya, jadi saya amat serius dalam menguatkan lagi komuniti di sini. Kami memiliki penyokong yang hebat, jadi saya bertekad memastikan mereka merasai kejayaan bersama kami."

Musim lalu, Wall mencatat purata 23.1 mata, 10.7 assist dan 2.0 steal.

Wizards menamatkan saingan NBA musim lalu dengan 49 kemenangan daripada 82 perlawanan sebelum tewas di tangan Boston Celtics dalam separuh akhir Playoff NBA Eastern Conference.