WACT: Skuad wanita negara tamatkan kempen selaku pasukan keempat terbaik Asia

Muzaffar Musa
November 20, 2024 18:51 MYT
Skuad wanita negara menamatkan kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita (WACT) di tempat keempat selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, Rajgir sebentar tadi.
Malaysia jelas bergelut sejak awal permainan sehingga dibolosi tiga gol dalam separuh masa pertama.
Mayuri Horikawa meletakkan Jepun di depan menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketiga sebelum Hiroka Murayama dan Ayana Tamura menjaringkan gol padang, masing-masing pada minit ke-24 dan 28.
Dalam babak kedua, Jepun memperoleh satu lagi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-35, yang disempurnakan Miyu Hasegawa.
Azmyra Mia Sofea Azhairy merapatkan jurang buat Malaysia pada minit ke-48 tetapi tiada sebarang pertambahan jaringan terhasil untuk pasukan bimbingan Nasihin Nubli itu berpuas hati mengulangi pencapaian tempat keempat yang kali terakhir dilakar dalam edisi di Donghae, Korea Selatan pada 2018.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad wanita negara dalam kejohanan itu ialah menduduki tempat ketiga dalam edisi di Kakamigahara, Jepun pada 2013.
#Hoki #Hoki Wanita #WACT #Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita
;