WACT: Malaysian Tigress akur tewas bermaruah di tangan China
Zaki Zainal
November 19, 2024 19:37 MYT
November 19, 2024 19:37 MYT
Hasrat skuad hoki wanita negara untuk melakar kejutan mara ke pentas final buat julung kalinya dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 tidak kesampaian selepas tewas kepada China 1-3 di Stadium Hoki Rajgir Bihar, India, sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Rajgir Bihar, India itu menyaksikan anak buah Nasihin Nubli Ibrahim ketinggalan pada minit ke-10 hasil jaringan padang Deng Qiuchan sebelum Fan Yunxia menjarakkan kedudukan 2-0 buat China menerusi pukulan sudut penalti selang 7 minit kemudian.
Tan Jinzhuang terus memberi keselesaan buat China apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti menuju rehat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Malaysia kembali merapatkan jurang selepas Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-36 namun belum cukup untuk menghalang kemaraan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 itu mara ke final edisi kali ini.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara di pentas ACT adalah tempat ketiga sewaktu edisi 2013 di Kakamigahara, Jepun yang mana ketika itu mereka menewaskan China 3-1.