Van Huizen bimbang kecederaan Shukri

Penulis Jemputan
September 27, 2017 20:16 MYT
Kecederaan yang dialami beberapa pemain utama skuad hoki negara, terutama kapten, Sukri Mutalib, membimbangkan ketua jurulatihnya, Stephen Van Huizen.
Beliau berharap mereka mampu pulih sebelum beraksi dalam Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, dari 11 hingga 22 Oktober ini.
Menurut Van Huizen, beliau masih menunggu laporan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai tahap kecederaan betis yang dialami Sukri, Izad Hakimi dan Marhan Abdul Jalil.
Namun, antara mereka bertiga, Van Huizen paling bimbangkan Sukri yang disifatkan mengalami kecederaan paling serius.
Belum bersedia kehilangan Shukri dan pemain lain, beliau mengharapkan mereka sempat pulih dan disenaraikan dalam skuad akhir ke Piala Asia.
"Kami tidak boleh mengharapkan pemain bebas kecederaan. Kami akan cuba memberi tekanan kepada mereka, sama ada mereka bersedia atau tidak, ada kekuatan atau tidak," katanya.
Mengenai perubahan format pertandingan edisi tahun ini, Van Huizen berkata skuad hoki negara perlu lebih bersedia mengharungi setiap perlawanan.
Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China dan Oman, perlu memastikan berada di tangga kedua jika mahu mara ke separuh akhir.
"Jangan dilupakan pasukan seperti Korea Selatan atau Pakistan. Kita berada di ranking ke-12, Korea berada di tempat ke-13 dan Pakistan ke-14. Ranking tidak banyak menjadi perbezaan.
"Ia adalah persembahan pada hari pertandingan, ia bergantung kepada siapa yang bermain bagus, siapa yang mengambil peluang dan siapa yang bertahan baik.
"Kami menjangkakan ia satu perlawanan yang sukar kerana dalam Asia, ada enam pasukan yang kuat," tambahnya.
#Bangladesh #Hoki #Stephen van Huizen #Piala Asia 2017 #Dhaka #Shukri Mutalib
;