Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menganggap kepakaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam menilai calon terbaik ketua jurulatih skuad kebangsaan tidak perlu dipertikaikan.

Katanya, FAM memiliki kepakaran terbaik dalam menilai dan mengkaji apa yang terbaik buat skuad kebangsaan dan sudah pasti keperluan yang diperlukan untuk mengisi kerusi panas Harimau Malaya itu sudah diteliti sepenuhnya sebelum sebarang kata putus ditentukan dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata isu kewangan tidak menghalang badan induk itu untuk mendapatkan jurulatih terbaik dan sedia mengeluarkan perbelanjaan RM200,000 sebulan bagi meningkatkan prestasi skuad negara.

"Saya yakin dengan jawatankuasa yang akan memilih jurulatih bahawa mereka akan memilih pengendali yang sesuai buat Harimau Malaya," kata Hannah seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Apa yang saya tahu, dalam ekosistem bola sepak, ia memang sukan yang mahal. Jurulatih dengan standard dunia, mereka semua mendapat bayaran yang amat baik.

"Oleh sebab itu, mungkin ramai yang tidak tahu kalau kita mahu membantu pasukan ini, perlu ada pelaburan.

"Pencarian FAM sentiasa bergantung kepada dana yang mereka ada. Ini kerana bantuan kerajaan buat mereka amat kecil berbanding apa yang mereka perlu cari sendiri.

"Jika mereka mampu untuk membiayai jurulatih yang mereka mahu, mereka boleh meneruskannya kerana saya percaya jawatankuasa mereka sudah menilai setiap kriteria yang diperlukan," katanya.