UNL: Kai Havertz tersingkir daripada skuad Jerman

Muzaffar Musa
October 7, 2024 13:00 MYT
Kai Hazertz terpaksa disingkirkan daripada skuad kebangsaan Jerman bagi kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) gara-gara kecederaan lutut.
Penyerang Arsenal itu beraksi selama 90 minit ketika bangkit menewaskan Southampton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, di mana dia menjaringkan gol pertama pasukannya dalam kemenangan 3-1 itu.
Dia menjadi pemain pertama menjaringkan dalam tujuh perlawanan berturut-turut di laman The Gunners dalam semua pertandingan sejak kali terakhir dilakukan Robin van Persie dari Disember 2011 hingga Mac 2012.
Havertz memperoleh permulaan gemilang musim ini dan sudah menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan selain turut menghasilkan satu bantuan jaringan.
Bagaimanapun, dia tidak dapat disenaraikan Jerman bagi aksi menentang Bosnia-Herzegovina dan Belanda berikutan kecederaan lutut dan berkemungkinan terpaksa direhatkan Arsenal selepas waktu rehat antarabangsa kali ini.
"Kai Havertz akan terlepas perlawanan antarabangsa akan datang menentang Bosnia-Herzegovina dan Belanda kerana kecederaan lutut," demikian diumumkan skuad kebangsaan Jerman dalam satu ciapan media sosial.
"Jurulatih skuad kebangsaan, Julian Nagelsmann, telah menyenaraikan Jonathan Burkardt sebagai pengganti Havertz. Semoga cepat sembuh Kai."
#bola sepak #Jerman #Kai Havertz #Liga Negara-Negara Eropah
;